19 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) disaran melaksanakan subsidi bersasar bagi minyak masak peket dengan ketetapan baharu.
Antaranya dengan mewujudkan pangkalan data bagi usahawan mikro yang menerima subsidi itu.
Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) berkata hal ini bagi mengawal kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi yang dikhuatiri berpunca daripada penyeludupan atau ketirisan.
“Seperti yang dikatakan KPDN, minyak masak peket sangat mudah untuk diatur namun minyak masak peket juga turut diberi kepada peniaga-peniaga mikro.
“Setahu saya, pada awal kita memperkenalkan minyak masak peket, ianya untuk diberi kepada golongan B40 yang dianggarkan berjumlah 3.2 juta orang.
“Jika seorang mendapat 5kg sebulan, bermakna kita baru sahaja menggunakan 15 juta peket tetapi kerajaan mengeluarkan 60 juta peket. Jadi saya nak beritahu, dia sebut 92,000 tetapi mikro mempunyai 1.6 juta.
“Jika kita hendak menampung keperluan minyak masak usahawan mikro ini,kita perlu ada pangkalan data mereka. Kalau nak bagi, kita bagi namun jangan sebut 60 juta subsidi untuk golongan B40,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah sesi penggulungan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menerusi Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, KPDN menafikan dakwaan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi berpunca akibat aktiviti penyeludupan atau ketirisan.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh sebaliknya mendedahkan 60 peratus daripada 60 juta minyak masak peket itu digunakan peniaga mikro yang tidak tergolong sebagai penerima subsidi barangan itu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Backbenchers turut menggesa pelaksanaan subsidi secara bersasar disegerakan agar dapat membantu kerajaan mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Johari yang merupakan bekas Menteri Kewangan II berkata sekiranya subsidi pukal dapat dikurangkan dan seterusnya dihentikan, ia bukan sahaja akan membantu kerajaan dari segi penjimatan awam tetapi juga dapat mengekang ketirisan dari segi penyelewengan dan penyeludupan.
“Sebagai sebuah kerajaan dengan pendapatan yang tak berapa besar, dianggarkan sebanyak RM250 bilion, jumlah subsidi kita mencecah 22-25 peratus dan ia merupakan peratus yang sangat tinggi.
“Daripada jumlah pendapatan (negara) yang kita perolehi, ianya hampir mencecah jumlah subsidi
“Ia juga melibatkan jumlah yang sangat besar dan akan memberi kesan yang sangat besar, jika kita boleh mengatasinya, ia akan memberi kedudukan polisi fiskal yang bagus. Jika ia tidak mengubah polisi fiskal sekalipun , ia akan mencapai ke sasarannya,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL