20 SEPT : Dua maut manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan melibatkan 12 kenderaan termasuk satu motosikal pengiring polis di Persiaran Utara menghala ke Presint 12, Putrajaya, hari ini.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian yang berlaku sekitar jam 10.20 pagi tadi.
“Setibanya pasukan keluaran operasi di lokasi kejadian, terdapat kemalangan jalan raya melibatkan dua lori, empat kereta dan empat motosikal.
“Seramai sembilan mangsa terlibat dan dua daripadanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 dan Presint 14 dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut dikejarkan ke lokasi kejadian.
Difahamkan mangsa yang mengalami kecederaan dirawat di Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.
Dua penunggang motosikal termasuk anggota polis pengiring sempat menyelamatkan diri.
Sementara itu, daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran menunjukkan sebuah lori menukar lorong dari tengah ke kiri sebelum merempuh kenderaan di hadapan yang berhenti dalam barisan.
Polis menahan pemandu lori untuk siasatan lanjut.