20 SEPT : Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai perlu terus dipertahan sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Pahang.
Seruan itu dibuat Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas beliau melancarkan Jentera BN Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 Pelangai di Simpang Pelangai, hari ini.
Katanya, jentera BN perlu menyantuni setiap pelusuk DUN itu bagi memastikan kawasan itu terus menjadi kubu kuat mereka.
Malah katanya, semua ahli juga perlu menyokong sesiapa sahaja yang dipilih kepemimpinan BN sebagai calon serta tidak mengamalkan ‘cah keting’.
“Jangan ada sengketa, sebaliknya kena muafakat supaya tidak kecundang, kekalkan rekod kita di Pelangai supaya terus menjadi kubu BN dan mengekalkan kemenangan di sini sejak lama dulu.
“Kita perlu memastikan majoriti yang dimenangi (Allahyarham) Datuk Seri Johari Harun (penyandang DUN Pelangai) dikekalkan atau lebih baik,” katanya.
Menurutnya, kemenangan BN di DUN itu akan meneruskan momentum kemenangan yang dicapai Kerajaan Perpaduan pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor, 9 September lalu.
Menyentuh soal peratusan undi yang kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini, Menteri Pertahanan itu menyifatkan itu sebagai perkara ‘biasa pada mana-mana PRK’ kerana pengundi beranggapan undian mereka tidak membawa banyak perubahan.
“Yang penting adalah untuk kita pastikan semua ahli UMNO di sini (Pelangai) yang lebih 3,000, keluar pada hari pengundian. Kalau semua mereka keluar, lebih 20 peratus (undi) sudah memihak kepada kita dan selebihnya adalah kita tarik pengundi di setiap pelusuk,” katanya.
PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Oktober ini berikutan kematian Johari dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie, Shah Alam, 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Oktober sebagai hari undi awal manakala DUN Pelangai mempunyai 16,456 pengundi.
Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat, calon PH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang, Isa Ahamd.
*Foto : Facebook Wan Rosdy Wan Ismail