21 SEPT : Pihak berkuasa Arab Saudi menetapkan etika berpakaian khas bagi wanita yang mengerjakan umrah dan ziarah kecil di Masjidil Haram.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata jemaah wanita ditetapkan memakai pakaian yang longgar, tiada unsur hiasan, menutupi seluruh badan serta mematuhi peraturan tertentu yang ditetapkan.
Kementerian itu menjelaskan, penetapan panduan pakaian yang sesuai itu bagi memastikan kesucian tempat yang diziarahi sentiasa terpelihara.
“Walaupun jemaah wanita mempunyai kuasa autonomi untuk pakaian bagi ibadat umrah, namun mereka perlu menyelaraskan pilihan itu dengan kriteria yang ditetapkan.
“Ia termasuk mengenakan pakaian yang besar dan longgar, tiada unsur hiasan dan pakaian hendaklah menutupi seluruh bahagian anggota badan,” katanya menerusi pemakluman yang dikongsi di media sosial.
Arab Saudi menjangkakan kira-kira 10 juta umat Islam dari pelbagai negara akan menunaikan umrah di Masjidil Haram yang bermula sejak Julai lalu.