Malaysia-Sri Lanka rancang perkukuh kerjasama pelbagai sektor
21 SEPT : Malaysia dan Sri Lanka bersetuju untuk mengukuhkan hubungan dua hala menerusi pelbagai sektor untuk faedah bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan bersama Presiden Sri, Lanka Ranil Wickremesinghe, hari ini bagi memberi peluang kepada kedua-dua negara meneroka bidang kerjasama baharu dalam usaha memperkukuh kerjasama sedia ada.
“Dalam mesyuarat, kami bersetuju untuk mengukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai sektor untuk faedah bersama.
“Ini termasuk pertukaran lawatan di peringkat tertinggi, sektor perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan serta pembangunan sumber manusia.
“Semoga kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Sri Lanka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Facebooknya selepas mesyuarat itu, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.
Selain Wickremesinghe, Anwar juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Seyed Ebrahim Raisi pada hari pertama beliau di New York.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim