Op Jamin: Paling banyak terima aduan harga beras
21 SEPT : Penguatkuasaan bersepadu Op Jamin yang bermula sejak 7 Julai lalu menerima aduan paling banyak berkait harga beras.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Op Jamin bakal diteruskan bagi mengatasi kekurangan bekalan beras dengan segera.
“Antara aduan yang banyak diterima adalah berkaitan jurang harga yang sangat tinggi antara BPT (beras putih tempatan) dan BPI (beras putih import) yang menyebabkan peniaga dan pengusaha kedai makanan beralih kepada BPT sebagai pilihan beras yang murah menyebabkan bekalan BPT kurang di pasaran, lebih-lebih lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Oleh itu saya telah mengarahkan agar penguatkuasaan bersepadu melalui OP Jamin ini diteruskan dan kekurangan bekalan dapat diatasi segera dan dipulihkan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), hari ini.
Katanya, Op Jamin sudah menjalankan 37 siri pemeriksaan membabitkan 2,322 premis kilang, borong dan runcit di seluruh negara dengan 142 aduan diterima melibatkan isu bekalan serta harga beras.
Pada 7 Julai lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bekerjasama bagi menjalankan Op Jamin bertujuan menguat kuasa dan memantau bekalan beras di seluruh negara.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata stok penimbal beras negara hanya perlu digunakan bersama stok beras semasa sekiranya situasi bekalan beras dalam negara tidak dapat dipulihkan dalam jangka masa terdekat.
“Saya juga menegaskan agar gerakan bersepadu rentas kementerian terus dilaksanakan khususnya Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan MyGrocer@Wilayah dan diperluaskan di peringkat Dewan Undangan Negeri serta Parlimen di setiap negeri,” katanya.
Katanya, pelbagai inisiatif dan program bagi memastikan ketersediaan dan keberadaan beras tempatan sudah dijalankan kerajaan antaranya Program Khas Beras Putih Tempatan yang menyaksikan unjuran tambahan BPT sebulan sebanyak 23,000 tan metrik.
Beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) juga dipertanggungjawabkan untuk membekalkan beras di kawasan yang mengalami gangguan dan melancarkan talian hotline bagi pengguna melaporkan isu serta masalah berkaitan bekalan serta penyelewengan beras.
Mengulas soal bekalan ayam dan telur, Zahid berkata KPKM sudah diarah agar menjamin ketersediaan bekalan dan kestabilan harga di peringkat ladang terjamin untuk memastikan bekalan di peringkat borong serta runcit.
“KPDN juga akan memastikan kekerapan pemantauan penguatkuasaan terhadap harga dan bekalan sepanjang masa,” katanya.
Menerusi mesyuarat itu juga Zahid berkata, beliau mencadangkan semua agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) khususnya Lembaga Kemajuan Wilayah untuk memulakan penanaman kekacang (legum) bagi mengurangkan kos import makanan ayam.
Menurutnya, cadangan berkenaan dibincangkan di Sabah dan Sarawak untuk tujuan penggunaan tanah negeri dan dipersetujui untuk mewujudkan jalinan kerjasama pintar KPKM bagi memastikan harga dan bekalan ayam sentiasa stabil.
Legum merupakan tumbuhan dari kumpulan Fabaceae atau buah yang tumbuh secara agrikultur. Ia digunakan sebagai makanan manusia, ternakan dan baja hijau untuk meningkatkan kesuburan tanah.
Kerajaan mengumumkan membelanjakan kira-kira RM3.77 bilion untuk subsidi ayam dan telur ayam bagi memastikan bekalan dan harga ayam dan telur ayam kekal stabil bagi tempoh 2022 hingga 2023.
*Foto : Facebook Zahid Hamidi