21 SEPT : Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang membolehkan maklumat dikongsi antara pelbagai cabang kerajaan dijangka sedia digunakan pada Januari 2024.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata sistem itu kini sudah siap 60 peratus.
Menurutnya, kerajaan akan menguji sistem itu pada November ini sebelum boleh digunakan oleh orang ramai pada Januari untuk pengesahan maklumat peribadi.
“Setakat ini, proses membangunkan sistem itu, yang mana menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di Malaysia, berjalan lancar mengikut garis masa seperti dirancang.
“Jika semuanya baik, Padu akan sedia mengumpul keseluruhan data rakyat Malaysia pada Januari 2024,” katanya pada sidang media, hari ini.
Pada Mei, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Padu diwujudkan untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.
Rafizi berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) omnibus tahun depan untuk membenarkan perkongsian data antara kementerian dan agensi.
Pada Selasa, beliau berkata RUU itu memudahkan kerajaan kerana tidak perlu meminda setiap akta yang memberi kuasa kepada kementerian atau agensi masing-masing.