Alzafny dilantik SUPM baharu
22 SEPT : Deputi Komisioner Polis (DCP) Alzafny Ahmad dilantik sebagai Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) yang baharu berkuatkuasa semalam.
Alzafny dilantik ke jawatan tersebut bagi menggantikan Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, wanita pertama yang memegang jawatan itu pada 22 April 2022.
Alzafny, sebelum ini menjawat sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah serta pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Polis Klang Selatan, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Kontinjen Kuala Lumpur dan Ketua Penolong Pengarah (D4) Risikan/Operasi/Rekod JSJ Bukit Aman.
Majlis Serah Terima Tugas Jawatan SUPM di Bukit Aman, semalam turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam ucapannya, Ayob Khan mengucapkan tahniah kepada Alzafny atas kenaikan pangkat dan berharap agar memikul tanggungjawab yang diamanahkan dalam memperkasakan lagi keberkesanan urus tadbir PDRM.
“Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada DCP Alzafny atas kenaikan pangkat dan berharap agar menggendong tanggungjawab yang diamanahkan ini dalam memperkasakan lagi keberkesanan urus tadbir Pasukan, terutamanya dalam menyokong serta melancarkan lagi gerak kerja pucuk pimpinan”, katanya.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Noorsiah di atas perkhidmatannya selama 38 tahun serta menyifatkan beliau sebagai pegawai kanan yang sentiasa menjaga kebajikan pegawai bawahan serta tidak mudah patah semangat dalam menghadapi cabaran sepanjang memegang jawatan SUPM.
*Foto : PDRM