Anwar bertemu PM Thailand teroka kerjasama baharu
22 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Srettha Thavisin bagi meneroka kerjasama baharu serta mengukuhkan hubungan dua hala.
Pertemuan yang diadakan di di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 itu turut membincangkan isu-isu serantau lain yang mempunyai kepentingan bersama.
Mesyuarat yang berlangsung selama 30 minit itu turut dihadiri menteri-menteri Kabinet kedua-dua negara.
“Selain membincangkan cara untuk mengukuhkan hubungan dua hala, kami juga bercakap mengenai pelbagai isu termasuk sempadan, proses damai di Selatan Thailand, ” kata Anwar menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Ini merupakan pembabitan rasmi pertama Anwar dengan Srettha Thavisin sejak taikun hartanah Thailand itu dilantik sebagai perdana menteri bulan lalu.
Sementara itu, Anwar turut menghadiri sesi perbincangan dengan Ahli Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR), sebuah badan pemikir dan penerbit bebas bukan partisan yang mempromosikan pemahaman mengenai hubungan antarabangsa dan dasar luar negara.
Pada sesi itu, beliau berkongsi dan bertukar pendapat tentang dasar serta polisi negara berkaitan hubungan antarabangsa, pentas global dan geopolitik.
“Saya menghargai jemputan mereka dan berharap diskusi seperti ini akan dapat diteruskan pada masa mendatang,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim