NADMA tumpu 89 daerah ‘hotspot’ banjir
22 SEPT : 89 daerah ‘hotspot’ banjir yang dikenal pasti di seluruh negara akan diberi tumpuan menjelang peralihan Monsun Timur Laut bermula November ini.
Sehubungan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diarah memantau pelaksanaan persiapan banjir khususnya di 77 daerah daripadanya merupakan kawasan sering berlaku banjir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata kebanyakannya kawasan membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
“NADMA sudah diarah kerana berdasarkan data Monsun Timur Laut tahun lalu, sebanyak 89 daerah di seluruh negara dilanda bencana ini.
“Daripada jumlah itu, ada 77 daerah dilanda banjir berulang dalam tempoh Monsun Timur Laut bermula November 2022 hingga Mac lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Latihan Simulasi Bencana Rakan NADMA di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Armizan berkata semua keperluan berkaitan bencana bergantung sepenuhnya di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).
“Sebahagian besar daripada peruntukan itu adalah untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir dengan pelbagai kategori yang sudah ditambah baik,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah supaya mempergiatkan persiapan serta mekanisme bagi menghadapi risiko banjir.
Sebelum ini, sebanyak enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Pulau Pinang, Kedah dan Perak setakat pagi ini susulan beberapa kawasan dinaiki air akibat hujan lebat sejak semalam.
Berdasarkan laporan info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 297 mangsa ditempatkan di enam PPS tersebut.
*Foto : APM Daerah Baling