23 SEPT : Asia Tenggara kekal sebagai wilayah perpaduan dan kerjasama ketika dunia sedang menghadapi ketegangan geopolitik yang sengit yang tidak pernah dilihat sejak zaman Perang Dingin.
Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh berkata ASEAN menegaskan kepusatannya dalam mengekalkan keamanan dan kemakmuran di rantau ini serta menggesa kawalan di Laut China Selatan yang dipertikaikan.
“Vietnam komited untuk bekerjasama dengan negara di dalam dan di luar rantau ini untuk menjaga keamanan, kestabilan, keselamatan dan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan mengikut undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 ( UNCLOS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, lapor Agensi Anadolu (AA).
Pada masa sama, beliau turut menekankan tentang kepentingan menahan diri daripada tindakan unilateral dan menangani pertikaian dan perbezaan dengan cara aman termasuk proses diplomatik dan undang-undang.
Beliau merujuk kenyataan itu kepada pertikaian panas antara China dan anggota ASEAN tentang perairan Laut China Selatan.
Hanoi dan Beijing mempunyai tuntutan bertindih maritim di perairan yang dipertikaikan.