Krisis penghijrahan cendekiawan: Kerajaan teliti jalan terbaik
23 SEPT : Kerajaan sedang dalam usaha menangani krisis penghijrahan cendekiawan atau brain drain yang sedang dihadapi negara ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara langkah terbaik adalah dengan meneliti kaedah menarik rakyat Malaysia yang mahir untuk kembali menyumbang kepada negara.
Sehubungan itu, kementerian berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pendidikan Tinggi sedang melibatkankan mereka yang boleh menyumbang untuk kembali dan ditempatkan dalam bidang kompetensi tertentu untuk membantu Malaysia.
“Saya yakin ini boleh dilakukan, ia adalah berterusan dan kita harus, seperti yang anda tahu kita telah lama menghadapi masalah penghijrahan golongan intelektual ini.
“Golongan cendekiawan, ahli ekonomi terkemuka, akauntan terkemuka meninggalkan negara atau telah pergi, jadi sekarang kita perlu memastikan kita mempunyai sistem yang boleh menggalakkan mereka untuk kembali dengan insentif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis makan malam bersama rakyat dan pelajar Malaysia di New York, hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata satu jawatankuasa untuk mengkaji skim gaji penjawat awam telah ditubuhkan kerajaan namun sebarang penstrukturan semula perlu dilakukan berdasarkan kedudukan kewangan negara.
Katanya, hal itu dapat dilaksanakan sekiranya negara bertanggungjawab dari segi dasar ekonomi berhemat.
“Apa yang saya warisi ialah hutang RM1.5 trilion, defisit 5.6 peratus, maknanya jika saya pemimpin yang bertanggungjawab saya perlu mengurangkan hutang secara beransur-ansur.
“Maka kita perlu mengurangkan defisit daripada 5.6 (peratus) tahun lepas kepada 5.3 (peratus) tahun ini dan berharap untuk mencapai 5 (peratus) pada 2024,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri akan mengambil inisiatif mengenai soal pemilikan dua kerakyatan dengan berbincang lanjut serta menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan melibatkan keputusan dasar yang utama.
“Kertas kerja akan dibuat serta Kementerian Luar dan Menteri Dalam Negeri akan membincangkan implikasinya. Buat masa ini kami tidak memihak tetapi oleh kerana ada permintaan, kami akan melihatnya dan tengok sama ada kami perlu menyesuaikan atau tidak,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim