PBB jadi faktor penentu kestabilan politik negara : Fadillah
23 SEPT : Keputusan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan membentuk gagasan baharu iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mengubah landskap politik negara ketika ini.
Naib Yang DiPertua Kanan PBB Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof berkata parti itu mula memperkukuhkan perjuangan dengan menuntut hak Sarawak di samping memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk melonjakkan Sarawak ke tahap yang lebih tinggi.
Katanya, berlandaskan tema ‘Sarawak First’ atau ’Utamakan Sarawak’, negeri itu kini menjadi faktor utama kepada kestabilan politik negara malah, tindak tanduk negeri itu turut menjadi panduan negara jiran.
“Kita semua sudah tahu ceritanya tetapi saya ingin memberitahu inspirasi untuk keluar dari BN dan membentuk gagasan baharu yang diilhamkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengubah lanskap politik Sarawak dan juga Malaysia.
“Kita menjadi faktor utama dalam menentukan kestabilan politik negara kita. Bukan itu sahaja, malahan tindak tanduk kita menjadi panduan jiran kita,” kata beliau menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Majlis perasmian Konvensyen Khas PBB Zon Kuching di Hikmah Exchange Centre berlangsung hari ini dihadiri lebih 1,400 perwakilan dari 26 cawangan yang menampilkan 26 wakil membahaskan usul.
Sementara itu, Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa pengelola atas kesungguhan dan kejayaan menganjurkan konvensyen itu.
“Ini merupakan konvensyen khas untuk tahun 2023 ini serta kerjasama dan sokongan padu dari perwakilan daripada 26 cawangan di Zon Kuching – N1 hingga N26.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga buat YAB Premier Sarawak yang menyampaikan ucaptama dan merasmikan penutupan konvensyen ini,” katanya.
*Foto : Facebook Fadillah Yusof