24 SEPT : Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengadakan perbincangan dengan syarikat telekomunikasi (telco) supaya bersedia bagi memastikan tiada gangguan rangkaian semasa musim tengkujuh yang boleh mengakibatkan bencana alam seperti banjir.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata peranan KKD semasa banjir adalah untuk memastikan tiada gangguan perkhidmatan supaya usaha menyelamat dan bantuan segera kepada mangsa banjir berjalan lancar.
“Kementerian sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir dan memohon pengguna membuat aduan sekiranya terdapat gangguan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan terjejas banjir,” katanya selepas majlis perjumpaan dengan Pemuda DAP Pulau Pinang di Butterworth pada Ahad, lapor Bernama.
Nie Ching berkata beliau akan teruskan jelajah berjumpa dengan semua ahli Pemuda DAP di setiap negeri untuk mendengar pandangan dan isu berkaitan mereka.
Pulau Pinang merupakan persinggahan keempat dalam siri jelajah beliau selepas Lembah Klang, Melaka dan Sarawak.
“Ini merupakan peluang terbaik untuk mereka mengutarakan sebarang isu atau pandangan supaya jawatankuasa kebangsaan parti boleh ambil maklum,” katanya yang merupakan Ketua Wanita DAP Kebangsaan.