Kelewatan buat keputusan beri kesan pada pelabur
24 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kekecewaanya terhadap kelewatan proses membuat keputusan yang memberi kesan kepada syarikat yang merancang untuk melabur di Malaysia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pihaknya sudah memberi arahan yang jelas kerana negara tidak boleh lagi berlengah.
Sehubungan itu pihak berkuasa diminta menghapuskan kerenah birokrasi serta menambah baik urusan menjalankan perniagaan ketika semakin banyak syarikat mengembangkan operasi ke Malaysia atau meningkatkan pelaburan sedia ada mereka.
“Sesetengah syarikat yang menemui kami berkata masih ada kelewatan dalam memberi kelulusan.
“Saya sangat kecewa apabila mendengarnya kerana kami telah memberi arahan yang jelas dan kita tidak boleh berlengah,” katanya pada sidang media di akhir lawatan empat hari beliau ke New York sempena menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa; Menteri Dalam Negeri ,Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin
Anwar berkata, dalam dunia serba kompetitif, penangguhan itu hanya akan membuatkan Malaysia terlepas peluang.
“Jika anda tangguh enam bulan, negara lain akan memberi kelulusan dalam masa dua bulan. Kita akan terlepas peluang disebabkan oleh sikap itu… tetapi untuk berlaku adil, kita telah melakukan yang terbaik di sini kerana kakitangan bekerja sepanjang masa untuk memastikan semuanya berjalan lancar (pertemuan dengan pelabur,)” katanya.
Perdana Menteri berkata arahan telah diberikan kepada menteri dan agensi yang berkaitan untuk memastikan semua permohonan diputuskan dengan cepat, termasuk kelulusan untuk pelaburan atau pengeluaran visa.
Sementara itu Anwar berkata, syarikat aeroangkasa terbesar dunia, Boeing, yang memiliki kilang mengeluarkan sayap di Malaysia memaklumkan hasrat untuk mengembangkan pelaburannya dengan mengeluarkan sayap dan bahagian-bahagian bagi semua jenis pesawat.
Syarikat itu bertapak di Malaysia melalui Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd (ACM), pakatan strategik antara Boeing dan Hexcel Corporation.
ACM ialah pengeluar komponen komposit canggih bagi industri aeroangkasa.
“Ini adalah satu keputusan yang sangat besar untuk Malaysia. Dengan keputusan ini, hampir semua sayap dengan bahagian-bahagian akan dikeluarkan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata beberapa syarikat utama Amerika Syarikat (AS) lain seperti ConocoPhillips, AWS, Google, Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, and Kimberly-Clark juga akan mengembangkan operasi mereka atau menyatakan hasrat untuk melebarkan sayap ke Malaysia.
Selain itu, ketika lawatannya ke New York, Anwar juga mengumumkan dua syarikat elektrik dan elektronik utama AS bersedia untuk mengembangkan operasi mereka ke Malaysia.
Satu daripadanya, Alton Industry Ltd Group (Alton Group) – pembekal global alatan pengguna dan komersil, perkakas dan penjagaan lantai akan melabur sekurang-kurangnya RM500 juta untuk membuka kemudahan pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor.
Menurutnya, kejayaan ini adalah hasil kerja keras oleh pelbagai kementerian dan agensi terutamanya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menarik pelaburan.
Semasa kunjungan Anwar ke Invest Malaysia New York, beliau juga bertemu Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Google, Ruth Porat; Presiden Global Boeing, Dr Brendan Nelson; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Medtronic, Geoff Martha serta Pengarah Urusan Global Siemens Healthcare, Tisha Boatman.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim