24 SEPT : Sabah mewajibkan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelabur luar di negeri itu untuk mengambil pekerja dari kalangan miskin tegar yang tersenarai dalam e-kasih.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah tersebut bertujuan mengurangkan jumlah miskin tegar di negeri itu.
Katanya, bagi merealisasikan inisiatif itu kerajaan negeri memperuntukkan RM175 juta sebagai sokongan kepada agensi kerajaan, GLC dan syarikat pelabur terlibat.
“Kerajaan negeri meluluskan RM300 juta khusus untuk mereka dalam senarai miskin tegar ini. Daripada RM300 juta ini, kita bina 1,300 rumah percuma Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) membabitkan peruntukan RM125 juta.
“Bakinya, RM175 juta diguna membantu anak miskin tegar mendapat pekerjaan di agensi kerajaan, GLC dan syarikat yang melabur di Sabah. Kita buat keputusan wajibkan pengambilan jawatan kerani ke bawah daripada golongan miskin tegar ini,” katanya, lapor BH.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut, di Tongod semalam.
Kata Hajiji lagi dengan kerjasama dan sokongan semua pihak beliau yakin Sabah dapat keluar dari senarai negeri paling ramai penduduk miskin dengan tiga daerahnya iaitu Tongod, Pitas dan Kota Marudu dikenal pasti sebagai daerah termiskin di negara ini.