25 SEPT : Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin hari ini memulakan hukuman penjara sembilan bulan atas kesalahan mengeluarkan kenyataan menghina dan menghasut terhadap Sultan Selangor pada 2012.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara menolak rayuan sabitan tersebut selepas mendapati ia tidak mempunyai sebarang merit.
Bagaimanapun hakim membenarkan rayuan Wan Ji terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menambah hukumannya kepada setahun di mana dia hanya dipenjara sembilan bulan seperti diputuskan Mahkamah Sesyen pada 9 April 2018.
Wan Ji, yang juga bekas pembantu ketua menteri Pulau Pinang ketika itu, Lim Guan Eng diikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya.
Hadhariah dalam penghakimannya berkata, tidak ada apa-apa yang salah dengan Akta Hasutan 1948 yang didakwa Wan Ji sebagai tidak berperlembagaan.
“Kebebasan bersuara tidak bermaksud kita boleh bercakap sesuka hati. Perkataan yang dikatakan dalam hantaran Facebook memang tidak sesuai.
“Kalau kita ini genius sekali pun dalam bab agama, jangan kita meperlekehkan orang lain,” katanya.
Hadhariah yang akan bersara tidak lama lagi menasihatkan Wan Ji supaya sentiasa merendah diri dan tidak memburukkan orang lain.
“Walaupun seseorang itu lebih arif dalam hal agama, kritikan mesti tetap sopan,” katanya.
Hadhariah juga berkata, hak kebebasan bersuara bukanlah mutlak dan mesti dilaksanakan dengan berhati-hati.
“Kita perlu berhati-hati apabila menyentuh tentang kaum, agama dan raja,” tambahnya.
Wan Ji, didakwa pada 10 September 2014 menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.
Timbalan pendakwa raya How May Ling dan Aida Khairuleen Azli mengendalikan pendakwaan manakala Faiz Fadzil mewakili Wan Ji selaku peguam.
Pada 9 April 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara ke atas pendakwah itu selepas dia didapati bersalah melakukan hasutan terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah.