25 SEPT : Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempunyai ‘tugas moral’ untuk menangani konflik Palestin-Israel melalui penyelesaian dua negara, lapor Agensi.
Menteri Luar Oman, Sayyid Badr Al-Busaidi berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-78 di New York.
Al-Busaidi menyifatkan konflik yang melanda Palestin itu sebagai ‘ketidakadilan yang berlangsung lebih 70 tahun’.
Namun katanya, dalam keadaan itu rakyat Palestin masih berdiri teguh berdepan kezaliman pendudukan Israel.
“Kepercayaan Oman terhadap keadilan, kesaksamaan dan penghormatan terhadap Piagam PBB bermakna ‘seperti semua negara yang aman’.
“Tiada jalan lain kepada persoalan Palestin selain penyelesaian dua negara”, katanya.
Al-Busaidi turut menggesa semua negara untuk ‘kekal terikat’ dengan sistem PBB dalam menyelesaikan pertikaian.
Katanya, PBB mempunyai kewajipan ‘untuk menamatkan penderitaan yang menyakitkan rakyat Palestin’.
“Ini hanya boleh berlaku melalui pengunduran Israel ke sempadan seperti Jun 1967 dan penciptaan negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
“Konflik Rusia-Ukraine juga menyebabkan kesan kemanusiaan yang menyakitkan. Peperangan itu memberikan cabaran penting kepada keamanan antarabangsa dan sistem bekalan yang berfungsi dengan baik di seluruh dunia,” kata Al-Busaidi.
Dalam pada itu beliau merayu dialog dan rundingan damai diadakan antara kedua-dua pihak ‘berdasarkan prinsip tidak mencederakan sesiapa’ serta kedaulatan negara dan kejiranan yang baik.