25 SEPT : Ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menyatakan sokongan penuh kepada calon BN, Datuk Amizar Abu Adam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata individu yang dipilih adalah mewakili parti serta kekalahanya turut memberi kesan kepada parti secara keseluruhan.
“Kalau kita UMNO dan BN, kita mesti anggap calon itu bertanding mewakili kita kerana dia bertanding atas parti kita, bukan bertanding sendiri, maka kita sebagai ahli parti mesti sokong calon yang mewakili parti.
“Tidak kisah siapa sahaja yang dicalonkan, kalau calon itu kalah bermakna keseluruhan parti itu kalah dan imej parti juga akan tercemar,” katanya kepada selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu di ibu negara,hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan bekas ahli Pemuda UMNO Bahagian Bentong, Haslihelmy DM Zulhasli yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Dun Pelangai,
Haslihelmy bertindak demikian sebagai tanda protes terhadap keputusan BN mengetengahkan Amizar sebagai calon.
Pada masa sama, Ismail Sabri yang juga bekas perdana menteri berkata pasca nilai dan perbincangan perlu diadakan oleh UMNO bagi mengenalpasti kaedah untuk menarik semula pengundi Melayu susulan prestasi parti itu pada Pilihan Raya Negeri di enam negeri 12 Ogos lalu.
PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan Haslihelmy.
PRK itu diadakan selepas penyandang kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina di Shah Alam, bulan lalu.