26 SEPT : Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara mencatat peningkatan sebanyak 4.2 peratus dalam tempoh separuh pertama 2023.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata kerajaan mensasarkan ekonomi negara berada di kedudukan antara 30 terbesar di dunia menerusi kerangka Ekonomi MADANI.
“Prestasi pasaran buruh juga lebih baik dengan kadar produktiviti yang lebih tinggi dicatatkan iaitu 3.7 peratus setahun bagi tempoh 2021 hingga 2022.
“Kadar pengangguran juga menurun kepada 3.5 peratus pada suku kedua tahun 2023.
“Selain itu, kita juga telah berjaya mengangkat agenda kesejahteraan rakyat di peringkat domestik apabila Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia yang mengukur tahap kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyat telah meningkat sebanyak 1.3 peratus setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Ke-27 2023 dan pelancaran inisiatif Value Champion Officer (VCO) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, hari ini.
Menurutnya, kejayaan itu merupakan kesungguhan dan komitmen serta pengorbanan semua penjawat awam yang didokong bersama-sama sektor swasta dalam menggerakkan ekonomi negara.
Mohd Zuki berkata, inisiatif baharu yang dikenali sebagai Value Champion Officer yang dilancarkan itu akan menjadi mekanisme penggerak dalam membudayakan amalan nilai.
“Inisiatif ini akan dipadankan dengan Sistem Amalan Nilai (SPAN 2.0) yang telah dan sedang dilaksanakan sekarang bagi mengukur pengamalan nilai dalam organisasi.
“Semoga dengan terlaksananya inisiatif ini, nilai asas individu dan organisasi dapat dilaksanakan,” tambahnya.
Jabatan Perkhidmatan Awam turut melantik 15 pegawai Value Champion Officer dari kementerian, jabatan dan pejabat setiausaha kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi melestarikan pembudayaan nilai murni dalam perkhidmatan awam melalui teladan baik di organisasi.