26 SEPT : Kerajaan sekali lagi menegaskan pendirian tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan mana-mana pihak termasuk sekumpulan individu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu ke atas Sabah.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sejak pembentukan Persekutuan itu pada 16 September 1963, Sabah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia.
“Malah kolokium ini tepat pada masanya kerana kita baru sahaja meraikan sambutan Hari Malaysia yang ke-60 lebih seminggu lepas,” katanya dalam ucapan penutup di Kolokium Timbang Tara Antarabangsa London 2023: Kedaulatan Negara dan Kekebalan dalam Timbang Tara Komersial di Pusat Resolusi Pertikaian Antarabangsa (IDRC) di London, hari ini.
Dalam pada itu, Zambry berkata negara masih berdepan pertempuran dari segi perundangan merentasi pelbagai bidang kuasa di beberapa negara dalam usahanya untuk membatalkan pengiktirafan dan penguatkuasaan award akhir timbang tara dalam kes itu meskipun penghakiman bersejarah yang dibuat oleh mahkamah di Perancis dan Belanda sebelum ini berkaitan tuntutan kumpulan Sulu memihak kepada Malaysia.
Namun, tegas beliau Malaysia tidak akan berkompromi dalam usaha melindungi kedaulatan dan integriti wilayahnya meskipun kesemua tindakan ini telah mengorbankan sumber yang berharga iaitu dana yang boleh digunakan bagi menyokong perkembangan sosioekonomi di Malaysia.
“Apa yang lebih menjengkelkan susulan pemberian award akhir itu ialah hakikat bahawa nasib Malaysia masih diputuskan oleh individu yang tidak mempunyai kaitan dengan rantau Asia Tenggara.
“Mengapa kelangsungan dan nasib Malaysia terletak di tangan penimbang tara yang berlagak seperti seorang samseng di Eropah? Ungkapan tidak adil langsung tidak boleh mentafsirkan penjajahan bentuk baharu ini. Malah ia menunjukkan sedari mula lagi, proses timbang tara itu adalah salah. Atau terma yang lebih biasa didengar oleh khalayak hari ini ialah mala fide.
“Bagaimana kita boleh membiarkan timbang tara diselubungi oleh dakwaan penyalahgunaan proses dan tindakan yang salah?” katanya.
Sehubungan itu, Zambry berkata semua pihak tidak boleh berdiam diri menyaksikan penyalahgunaan proses timbang tara yang berlaku di depan mata.
“Tidak dinafikan terdapat entiti jahat yang berniat untuk menjejaskan integriti dan kesahihan sistem timbang tara demi kepentingan sendiri.
“Ini akan mengancam prinsip asas keadilan dan kesaksamaan sistem undang-undang yang dipercayai oleh kebanyakan kita. Dengan itu, sudah tiba masanya kita memperbaharui ekosistem litigasi pihak ketiga bagi memastikan keseimbangan yang adil antara akses kepada keadilan dan ketelusan tindakan litigasi,” katanya.