26 SEPT: Kedah menjadi negeri keempat membuka pusat pemindahan sementara (PPS) susulan air sungai yang melimpah akibat hujan berterusan selama lapan jam di daerah Kubang Pasu, malam tadi.
Setakat jam 9 pagi, bilangan mangsa banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun meningkat kepada 61 mangsa daripada 18 keluarga.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa yang dipindahkan adalah dari Kampung Paya Nangmah dan Kampung Paya Nongmi.
“Status air kini semakin menaik dan pemantauan sedang dilakukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu di kawasan terjejas.
“Kesemua mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 21 lelaki dewasa, wanita dewasa (18), kanak-kanak (17), warga emas (3) dan bayi (2).
“Mereka dipindahkan sementara di PPS SMK Changlun berikutan paras air yang semakin meningkat dan memasuki rumah mereka serta mengakibatkan banjir sekitar jam 8.50 malam tadi,” katanya.
Di Perak, jumlah mangsa kekal dengan 38 orang daripada sembilan keluarga dari Kampung Matang Tengah di daerah Kerian yang ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Changkat Lobak.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan Jalan Bagan Serai-Changkat Lobak masih ditutup kerana air masih belum surut.
Di Sabah pula, seramai 134 mangsa daripada 46 keluarga terjejas di Beaufort masih ditempatkan di PPS Dewan
Sementara itu, situasi banjir di utara Sarawak kini sudah reda dengan PPS di Dewan Serbaguna Buluh Balui, Limbang ditutup pada jam 9 pagi tadi.
Sebelum penutupan PPS itu hari ini, lapan penduduk daripada tiga keluarga dari Kampung Batu Danau dan Kampung Pandak menjadi kumpulan terakhir mangsa yang dipindahkan.
PPS berkenaan dibuka pada jam 4.30 petang 20 September lalu dengan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan seramai 199 orang.