27 SEPT : Semua agensi berkaitan diarahkan terus berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi susulan banjir yang melanda di beberapa negeri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata semua agensi perlu siap siaga meski Jabatan Meteorologi mengeluarkan notis penamatan amaran hujan berterusan peringkat waspada pada pagi ini.
“Saya memantau keadaan semasa banjir yang kini melanda di Kedah, Perlis, Selangor dan Sabah akibat peralihan monsun pada ketika ini.
“Saya telah mengarahkan seluruh agensi berkaitan termasuk NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), APM (Angkatan Pertahanan Awam) dan pasukan keselamatan untuk terus berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi meskipun Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah mengeluarkan notis pemanamatan amaran hujan berterusan peringkat waspada pada pagi ini,” katanya melalui satu hantaran di Facebook, hari ini.
Awal hari ini, MetMalaysia menamatkan Amaran Hujan Berterusan tahap waspada di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang berdasarkan analisis model-model cuaca yang mendapati cuaca bertambah baik dan dijangka tiada potensi hujan berterusan.
Dalam pada itu, Zahid meminta orang ramai yang berada di kawasan terdedah banjir agar sentiasa berhati-hati.
“Saya sentiasa mendoakan agar semua mangsa yang terjejas akibat banjir pada kali ini dipermudahkan urusan dan diberi kekuatan dalam menghadapi musibah yang melanda.
“Begitu juga kepada yang berada di kawasan-kawasan terdedah kepada banjir, saya berharap agar terus ambil langkah berhati-hati dan sentiasa patuh arahan pihak berkuasa,” katanya.
Setakat jam 5 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 603 orang daripada 174 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS).
Manakala jumlah mangsa banjir di Perlis meningkat kepada 38 orang pagi tadi berbanding 18 orang daripada empat keluarga yang direkodkan petang semalam.
Banjir di Sabah pula dilaporkan pulih hari ini dengan PPS terakhir ditutup jam 10.30 pagi tadi.