27 SEPT : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah mengenal pasti 4,795 lokasi berisiko banjir di seluruh negara.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata ketika ini negara dalam fasa musim peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang menyebabkan berlaku hujan lebat dan banjir melanda beberapa negeri termasuk di kawasan Pantai Barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu JBPM sudah membuat persiapan rapi dari pelbagai aspek termasuk aset dan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kita buat pemantauan dan tinjauan (cuaca) setiap tiga jam dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia). Dari segi ramalan, keadaan hujan dan angin, data-data akan dicerap oleh pusat pengurusan operasi di ibu pejabat dan juga setiap negeri untuk diambil tindakan atau langkah berjaga-jaga,” katanya.
Beliau ditemui selepas program Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) 2023 Peringkat Zon Timur di Kuala Nerus semalam.
Tambahnya, selain khidmat 14,000 pegawai dan anggota tetap JBPM, kerja-kerja membantu dan menyelamat mangsa banjir juga akan disokong 7,920 anggota bomba sukarela di seluruh negara.