28 SEPT: Iran berjaya melancarkan satelit pengimejan Noor-3 ke orbit pada jarak 450 kilometer di atas permukaan Bumi, pada Rabu.
Menurut Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Issa Zarepour, bahagian aeroangkasa Pengawal Revolusi Iran (IRGC) telah melancarkan satelit itu menggunakan roket Qassed.
“Saya mengucapkan tahniah atas kejayaan ini kepada rakyat, mereka yang bekerja keras dalam sektor aeroangkasa negara dan pakar Pasukan Aeroangkasa IRGC.
“Roket Qassed juga digunakan oleh IRGC untuk melancarkan satelit Noor-2 pada Mac 2022, yang ditempatkan di orbit pada jarak 500 kilometer dari permukaan Bumi,” katanya, lapor Agensi Anadolu (AA).
Terdahulu,Noor-1 dilancarkan pada tahun 2020.
Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) mendakwa program peluru berpandu jarak jauh Iran boleh digunakan untuk melancarkan senjata jarak jauh.
Dakwa AS lagi, ia mencabuli resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Namun, Tehran menafikan dakwaan itu dengan menegaskan pelancaran satelitnya bertujuan membantu dalam aktiviti penyelidikan dan pertanian.