28 SEPT : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menolak idea menaikkan harga siling beras putih tempatan (BPT) kepada RM34 bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan.
BPT itu kini dijual pada harga RM26 bagi 10 kilogram (kg).
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata kerajaan sudah pun memberi kebenaran kepada persatuan restoran dan pengusaha makanan serta penjaja kecil untuk memberi beras putih import pada harga borong.
Katanya, perkara itu bagi memastikan peniaga dapat mengawal kos operasi dan tidak menaikkan harga nasi yang dijual.
“Ini juga bagi memastikan bekalan beras putih tempatan dapat distabilkan dengan mengurangkan pembelian besar daripada pengusaha restoran untuk perniagaan mereka berbanding untuk kegunaan isi rumah,” katanya dalam satu kenyataan.
Harga borong yang dibenarkan RM160 bagi 50 kg iaitu harga di pintu gudang.
Kenyataan itu dibuat bagi menjawab cadangan
Ia menjawab cadangan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin yang mencadangkan agar harga siling BPT dinaikkan kepada RM34 bagi 10 kg.
Hal ini kerana katanya, pengilang kurang berminat mahu mengeluarkan beras tempatan kerana harga siling yang rendah.
Kementerian berkata harga runcit BPT masih dikawal pada kadar RM2.60 sekilogram, sebagaimana Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) (Pindaan No.4) 2008, Akta Kawalan Padi dan Beras.
Terdahulu, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) memberi jaminan bekalan beras mencukupi di negara ini.
Bernas, yang memonopoli import beras berkata syarikat itu mengedarkan 630,000 tan metrik beras putih sehingga Ogos dengan peningkatan 38% daripada purata jualan bulanan sejak lima tahun lalu.