28 SEPT : Malaysia mengutuk insiden pencerobohan pendatang ekstremis Israel di Masjid Al-Aqsa.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata pencerobohan itu satu lagi tindakan disengajakan rejim Israel yang jelas untuk mencabar status quo undang-undang serta politik Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.
“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa supaya mendesak rejim Israel bertanggungjawab atas tindakan pencerobohan yang berterusan yang akan memburukkan lagi keadaan yang sudah parah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT).
“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mesti melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Piagam dan mengecam rejim, selain menghentikan serta-merta semua tindakan provokasi dan pencerobohan untuk keamanan dan kestabilan di rantau ini,” kata kenyataan itu.
Malaysia terus berpegang teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.