28 SEPT : Jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dingatkan agar tidak leka dan terlalu selesa.
Calonnya, Datuk Amizar Abu Adam berkata jentera BN perlu bersedia menghadapi sebarang ‘serangan’ yang mungkin dilakukan pihak lawan.
“Kita tidak tahu serangan apa yang akan berlaku. Kita mesti siap siaga 24 jam,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni masyarakat India dan Cina di kawasan Telemong di Bentong, hari ini.
Menyentuh soal manifestonya pada PRK kali ini, Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong itu berkata ia akan dilancarkan pada masa terdekat.
“Kami telah menghampiri hampir kesemua pertemuan (libat urus dengan masyarakat) dan kita akan lancarkan manifesto tidak lama lagi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai perincian manifesto tersebut buat masa ini.
PRK Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, bulan lepas.