29 SEPT : Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$112.46 bilion manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$1.7 juta pada akhir Ogos 2023, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
BNM menerusi kenyataan pada Jumaat berkata butiran terperinci Rizab Antarabangsa pada Akhir Bulan Ogos 2023 adalah berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Ogos 2023 tetap boleh guna,” katanya.
Menurut BNM, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, jangkaan serta prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.
“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah AS$17.56 bilion.
“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara,” katanya.
BNM juga memaklumkan kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak AS$22.89 bilion pada akhir Ogos 2023, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.
Tambahnya, data yang diterima pakai sejak April 2006 itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.