29 SEPT : Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bank-bank utama dan penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank utama akan mengecualikan caj transaksi bagi perniagaan mikro serta kecil yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow.
Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata perniagaan tersebut akan terus menikmati kos sifar dalam transaksi sementara pelanggan yang menggunakan perkhidmatan berkenaan juga tidak dikenakan sebarang caj.
“Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) akan memperuntukkan sumber bagi membantu membiayai kos yang ditanggung pemeroleh yang terus menawarkan pengecualian penuh kepada perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran secara QR DuitNow.
“DuitNow QR tetap menjadi kaedah pembayaran yang mampu milik dan menjimatkan kos. Bagi pelanggan individu, penggunaan QR DuitNow untuk membuat pembayaran tidak akan dikenakan apa-apa caj tambahan,” katanya.
Menurut BNM, sebarang caj transaksi yang dikenakan bagi perniagaan kekal rendah seperti yang dikenakan ke atas pembayaran menggunakan kad debit, atau lebih rendah daripada caj tersebut.
Tambahnya, perniagaan yang menggunakan kaedah bayaran QR DuitNow juga tidak perlu membayar kos berulang untuk sewaan terminal jualan.
“BNM terus memberikan komitmen penuh bagi menyokong penerapan pembayaran digital secara meluas di Malaysia melalui ekosistem pembayaran yang memberangsangkan, selamat dan inklusif yang juga mampan untuk jangka panjang,” katanya.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata apa-apa caj bagi transaksi pembayaran menggunakan kod QR tidak akan menjejaskan golongan berpendapatan rendah.
Sebelumnya, pengendali platform pembayaran melalui kod QR, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan vendor yang menerima pembayaran menerusi platform kod QR DuitNow akan dikenakan caj mulai 1 November ini.