29 SEPT : Jepun mengumumkan bakal mengeluarkan dan melepaskan kumpulan kedua air sisa daripada loji nuklear Fukushima ke laut bermula minggu depan.
Menurut Tokyo Electric Power Company (TEPCO), negara itu mula menyalurkan sebahagian daripada 1.34 juta tan air sisa yang terkumpul sejak tsunami pada 2011 ke Pasifik pada 24 Ogos.
“Pemeriksaan selepas keluaran pertama sudah selesai.Pelepasan kedua akan bermula pada 5 Oktober,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sebelum ini, China dilaporkan mengharamkan semua import makanan laut Jepun selepas pelepasan yang pertama pada 11 September lalu walaupun Tokyo memberi jaminan operasi itu tidak mengakibatkan risiko.
“Seperti yang berlaku untuk pelepasan pertama, kami akan terus memantau tahap tritium. Kami akan terus memaklumkan kepada orang ramai dengan cara yang mudah difahami berdasarkan bukti saintifik,” kata pegawai TEPCO, Akira Ono.
Pada masa sama, China dilaporkan masih menangkap ikan di kawasan nelayan Jepun beroperasi walaupun negara itu mengharamkan import makanan laut dari Jepun.
“Sekeping gambar bernilai seribu perkataan. Kapal China menangkap ikan di luar pantai Jepun pada 15 September, selepas sekatan makanan laut China dari perairan yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, tindakan China mengenakan larangan import makanan laut dari Jepun turut diikuti Rusia yang juga mempunyai hubungan dingin dengan negara matahari terbit itu.
Menurut TEPCO lagi, air itu sudah ditapis daripada semua unsur radioaktif kecuali tritium, namun ia masih berada pada paras selamat.
Pandangan itu turut disokong oleh agensi atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kira-kira 7,800 tan air dilepaskan ke Laut Pasifik daripada jumlah yang dirancang sebanyak 1.34 juta tan, bersamaan dengan lebih daripada 500 kolam renang Olimpik pada fasa pertama.