29 SEPT : Sebuah tamadun akan runtuh jika pemimpinnya tidak memberi tumpuan soal nilai dan akhlak dalam agenda pembangunannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam dunia moden dan bertenologi, pemimpinnya perlu mempunyai nilai dan akhlak.
“Tamadun runtuh bukan sebab ekonomi atau sosial, tetapi kerana tiada nilai dan akhlak, sebab itu tatakelola rosak.
“Apabila tatakelola lemah, negara akan jatuh,” kata Anwar ketika menyampaikan amanat pada Majlis Ilmu MADANI dan Sesi Dialog Perdana Menteri bersama pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi agama di Seri Perdana, malam ini.
Tegas Anwar, sejak mengambil alih tampuk kepimimpinan Kerajaan Perpaduan November lalu, agenda untuk mengangkat martabat Malaysia di mata dunia menjadi agenda utamanya.
“Saya pegang jawatan ini, Alhamdulillah dan saya selesa. Saya tak perlu wang berjuta-juta untuk beli harta.
“Saya tidak perlukan itu, tapi saya nak buktikan sesungguhnya di Malaysia ini ada Melayu Islam yang berpegang dengan fahaman Islam dan boleh angkat martabat negara,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peranan JAKIM di bawah pimpinannya lebih luas berbanding sebelum ini kerana khidmat nasihat serta pandangan jabatan itu diperlukan dalam setiap tadbir urus negara.
Majlis Ilmu MADANI dan Sesi Dialog Perdana Menteri bersama pegawai JAKIM itu dihadiri kira-kira 300 pegawai hal ehwal Islam JAKIM dari seluruh negara.
Selesai solat berjemaah, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah memimpin bacaan doa dan tausiyah.
Majlis ilmu itu diadakan secara berkala di kediaman rasmi Perdana Menteri sejak diperkenal Anwar pada 22 Disember 2022 dengan pengisian tausiyah yang disampaikan ulama terkenal dari dalam dan luar negara serta solat secara berjemaah.