30 SEPT : Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu berjuang mengangkat martabat bahasa Melayu seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan keyakinan itu sambil menyifatkan Anwar sebagai pejuang kerana sentiasa mengangkat bahasa Melayu ke peringkat lebih tinggi.
“Saya percaya kerajaan hari ini akan memberi perhatian kepada perkara ini malah perdana menteri (Anwar) merupakan pemimpin yang sentiasa berjuang untuk mengangkat martabat bahasa Melayu.
“Ini dapat dilihat dari bahasa percakapan dan ucapan-ucapan rasmi beliau sejak dahulu lagi dengan menggunakan istilah-istilah ‘pelik’ seperti canggih, ketimbang, wewenang dan purbasangka,” katanya, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Bahasa Melayu kian dipinggirkan malah lebih menyedihkan apabila orang Melayu lebih memilih untuk menggunakan bahasa asing berbanding bahasa ibunda itu sendiri.
Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan perlu memuktamadkan penggunaan bahasa Melayu dalam majlis rasmi termasuk program dianjur pihak swasta.
“Adakah kita masih akan berbicara dan berdebat mengenai bahasa Melayu untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang?
“Mungkin kita satu-satunya negara yang masih bergelut dan berjuang untuk memartabatkan bahasa sendiri sejak merdeka sehingga hari ini?
“Malah, timbul fenomena menggunakan nama asing untuk kawasan pembangunan baharu sebagai ‘Southville’, ‘Cyber South’, dan ‘Bangsar South’, malah kerajaan sendiri menggunakan bahasa asing seperti ‘Presint’. Adakah bahasa Melayu tidak cukup unik?” katanya.
Ismail merupakan pemimpin negara pertama berucap dalam bahasa Melayu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77 pada September tahun lalu.
Ahli Parlimen Bera itu berkata ketika mentadbir negara, beliau mengambil tindakan afirmatif termasuk memberi lebih kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.