30 SEPT : Kerajaan menggesa mana-mana syarikat media sosial dan penyedia perkhidmatan komunikasi di negara ini membantu dalam membendung penyebaran maklumat yang tidak benar kepada masyarakat.
Gesaan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut), Datuk Seri Azalina Othman Said selepas beberapa syarikat berasaskan teknologi sudah mula mengambil langkah mengurangkan maklumat palsu dan tidak tepat pada platform mereka.
“Bagaimanapun untuk syarikat yang lain, insentif kewangan menyebabkan mereka tidak bertindak secara lebih komprehensif menyebabkan kesan yang negatif pada maklumat yang disampaikan dan kebebasan bersuara.
“Saya berharap syarikat ini dapat menjalankan perniagaan mereka berpandukan etika yang baik kerana mereka mempunyai impak kepada minda anak muda, komuniti dan negara.
“Kerajaan menyokong semua usaha untuk memastikan maklumat yang boleh dipercayai, mempunyai objektif jelas dan berasas yang boleh diakses semua rakyat Malaysia,” katanya menerusi rakaman video pada Mesyuarat Asia Pasifik Bersama Pakar Berkenaan Maklumat Tidak Benar Dan Kebebasan Maklumat di Pusat Timbangtara Antarabangsa Asia, hari ini.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang itu berkata penyebaran maklumat palsu memberi kesan buruk kerana masyarakat akan keliru dengan maklumat yang diberikan.
Mengambil contoh penyebaran maklumat tidak benar ketika pandemik Covid-19, Azalina berkata ia menyebabkan kerajaan terpaksa menggunakan undang-undang yang komprehensif untuk menangani cabaran itu.
“Selain itu, pada pilihan raya kecil baru-baru ini juga ada maklumat palsu berhubung isu 3R iaitu kaum, agama dan raja disebarkan untuk mengelirukan serta memanipulasi pengundi.
“Semua orang perlu sedar hak untuk kebebasan bersuara perlu disertai dengan hak untuk mencari, menerima dan menyampaikan maklumat yang benar.
“Ia juga termasuk menghormati budaya dan amalan komuniti serta mematuhi undang-undang berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.