1 OKT : Hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat di New York sejak Jumaat lalu akan menjadi ‘kebiasaan baharu’ tahunan berikutan kesan perubahan iklim.
Gabenor New York, Kathy Hochul berkata, ia pertama kali dalam sejarah berlaku banjir yang teruk di negara itu, namun tiada kematian dilaporkan.
“Perisytiharan darurat, yang dapat mempercepatkan agihan bantuan bagi menangani krisis, akan berkuat kuasa selama enam hari,” katanya.
Walaupun bahaya banjir sudah berkurangan menjelang tengah hari semalam, sebuah hospital awam di Brooklyn memaklumkan semua pesakit dan stafnya akan dipindahkan berikutan ketiadaan bekalan elektrik sejak Jumaat lalu.
Hospital berkenaan memindahkan 120 pesakit ke hospital lain pada Sabtu, suatu proses yang dijangka mengambil masa sehingga lapan jam.
Hujan yang terlalu lebat turut menyebabkan beberapa jalan bertukar menjadi ‘sungai’, menyebabkan bas dan kereta terkandas selama beberapa jam serta memaksa laluan kereta api bawah tanah dan komuter ditutup.
Beberapa penerbangan juga terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan di Lapangan Terbang LaGuardia, di mana sebuah terminal dikososngkan sepenuhnya selepas dinaiki air.
Menurut rumah putih, Presiden AS, Joe Biden telah diberi taklimat beberapa hari lalu dimana Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan bersedia untuk membantu jika diperlukan.
Untuk rekod, pada Jumaat lalu, Hochul mengisytiharkan darurat di seluruh New York City, Long Island dan kawasan sekitarnya selepas ribut yang membawa hujan lebat membanjiri laluan kereta api bawah tanah dan jalan raya serta memaksa penerbangan ditangguhkan.
Pemantauan banjir berkuat kuasa sehingga 6 pagi Sabtu untuk seluruh New York, New Jersey dan Connecticut dengan kadar hujan dijangka empat hingga lapan sm sejam.
Beberapa laluan kereta api bawah tanah terutama di Brooklyn digantung pada pagi Jumaat disebabkan stesen dinaiki air.
“Perkhidmatan kereta api bawah tanah terhad kerana banjir besar. Perkhidmatan digantung di banyak stesen,” menurut Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan menerusi laman sosial X.
Sebahagian kawasan di New York City menerima hujan 20sm setakat 11 pagi Jumaat, dengan Central Park menyaksikan hujan lebih banyak sejak Taufan Ida melanda dua tahun lalu.