1 OKT : Semua pihak digesa supaya tidak mudah terpengaruh dengan fahaman sempit seperti kebencian berasaskan kaum, yang merosakkan nilai kemanusiaan.
Mengingatkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbezaan pendapat adalah dibolehkan, namun dalam Islam sudah menggariskan adab dalam perkara itu sebagaimana dinukilkan oleh Sheikh Dr Taha Jabir Fayyad al-Alwani dalam kitabnya bertajuk ‘Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam’ (Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam).
Beliau menegaskan, perbezaan pendapat harus diurus berlandaskan ilmu dan bukannya dengan terus bersifat menghukum, apatah lagi mengeluarkan kata-kata kesat.
“Kaedah dakwah bukan menghukum. Menghukum adalah tugas kadi atau hakim di mahkamah. Dakwah adalah dengan hikmah dan bijaksana.
“Namun, kalau bercakap terus dengan maki hamun, kemudian disambung dengan tepukan atau ‘Allahuakbar’ (laungan takbir), maknanya yang bercakap itu tidak betul, yang mendengar pun jahil,” katanya dalam ucapan pada Majlis Ramah Mesra Madani di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), di Seri Iskandar, hari ini.
Justeru, beliau berkata, pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi amat penting diteruskan untuk guru dan pelajar beragama Islam di sekolah, bagi menangani gejala radikalisme serta ekstremisme dalam masyarakat.
“Sekurang-kurangnya fahamlah sikit. Kalau tidak, kita guna Islam ini sebagai slogan, kemudian jeritan semangat tanpa mengambil kira adab, tidak mengambil kira matlamat dan kaedah serta fiqh dakwahnya tidak ada.
“Ini yang menjadi masalah, bukan saja di sini, malah di dunia Islam muncul golongan pengganas seperti ISIS… dia pun guna Islam, mahir dalam al-Quran serta juang atas nama Islam, Allah dan Rasulullah tetapi pembunuhan, pancung dan sebagainya diizinkan.
“Bagaimana kita tangani? Dengan ilmu,” katanya.