1 OKT : Usaha memperkasakan ekonomi dan memartabatkan seni dan kebudayaan perlu selaras supaya agar ia seiring dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara.
Selaras dengan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mahu menjadikan Festival Budaya Putrajaya 2023 yang dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai acara tahunan.
Katanya, festival sebegini diyakini mampu mendekatkan masyarakat umum dan komuniti antarabangsa dengan aktiviti seni dan budaya sebagai jenama bertaraf antarabangsa.
“Negara dan masyarakat itu memerlukan kekuatan ekonomi dan pada masa yang sama pemerkasaan seni dan budaya juga sama penting dalam pertumbuhan (ekonomi) dan kemajuan sesebuah negara.
“Sebab itu penting MOTAC menganjurkan program (Festival Budaya Putrajaya 2023) ini boleh angkat dan martabat apa maksud sebenar seni lukis, puisi, filem dan teater, seni pementasan serta tarian.
“Kita juga perlu sedar bahawa tidak banyak negara di dunia ini mempamerkan seni budaya Melayu sebagai terasnya diikuti suku kaum lain dari Perlis sehingga ke Sabah membabitkan penyertaan secara menyeluruh yang sebenarnya merupakan satu kekuatan dan pengukuhan ukwah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran festival tersebut, di Putrajaya, malam tadi.
Hadir pada majlis Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Menurutnya, rakyat pelbagai kaum yang mempunyai semangat cintakan negara dapat merasai perbezaan unik yang dimilikinya sebagai satu kekuatan bagi menjamin kemakmuran bersama.
Anwar dalam masa yang sama turut memberi jaminan yang kerajaan akan memberi fokus untuk memperkasa industri pelancongan negara dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober ini.
“Saya memberi jaminan di sini bahawa sektor pelancongan negara kita adalah satu bidang ekonomi yang sangat penting dan MOTAC harus percaya bahawa ia akan jadi fokus dalam Bajet 2024 selain teknologi maklumat dan teknologi makanan.
“Dalam Bajet nanti, kita akan memberi pemusatan kepada industri pelancongan dan pemerkasaan seni dan budaya,” ujarnya.