Indonesia nafi jerebu di Malaysia berpunca dari kebakaran hutannya
2 OKT : Indonesia menepis dakwaan jerebu yang melanda beberapa negeri di Malaysia akibat daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.
Menteri Alam Sekitar Indonesia, Siti Nurbaya Bakar berkata Jakarta tidak mengesan sebarang jerebu rentas sempadan ke negara jiran seperti didakwa.
“Kami terus memantau sebarang perkembangan dan tiada jerebu rentas sempadan ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Kata Siti Nurbaya, buat masa ini Indonesia cuba meredakan kebakaran hutan di beberapa wilayah di Sumatera dan Borneo dengan bom air (water bomb) menggunakan helikopter
Jumaat lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negara ini mengeluarkan amaran bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak akibat kebakaran hutan di Indonesia.
Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Luar Indonesia berkata, Malaysia masih belum membuat aduan diplomatik berkait perkara itu.
Musim kemarau Indonesia tahun ini adalah yang terburuk sejak 2019 akibat kesan El Nino. Pihak berkuasa menyifatkan lebih sukar memadam kebakaran hutan tahun ini akibat fenomena itu.
Lebih 267,900ha hutan dibakar tahun ini iaitu mengatasi jumlah keseluruhan sebanyak 204,894ha sepanjang 2022, menurut data Kementerian Alam Sekitar Indonesia.
Ini mengakibatkan jerebu di beberapa bandar di Sumatera dan Borneo. Beberapa kawasan di Kalimantan melaporkan jarak penglihatan kurang 10m, lapor agensi berita Antara.
Media tempatan melaporkan pihak berkuasa mengarahkan pengajaran dan pembelajaran di rumah bagi pelajar di Palembang dan Jambi, Sumatera akibat tahap pencemaran yang begitu tinggi.