Jerebu: KPM rujuk KKM tutup sekolah atau tidak
2 OKT : Keputusan berkait penutupan sekolah susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus mencatatkan peningkatan hanya akan dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
“Ia bergantung kepada cadangan atau nasihat sama ada menutup sekolah, memakai pelitup muka atau sebagainya,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika diminta mengulas situasi jerebu yang melanda negara ketika ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Perasmian Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) KPM peringkat Kebangsaan 2023 di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina meminta semua sekolah mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi menangani jerebu yang melanda negara ketika ini.
Tegasnya, jika bacaan IPU melebihi 100, tiada sebarang aktiviti luar dilaksanakan di sekolah.
“Kita memang ada garis panduan dan kekal dengan garis panduan itu, kita minta semua sekolah mematuhinya.
“Jika IPU lebih 100, tiada aktiviti luar boleh dilaksanakan dan perlu mengikut garis panduan itu sebagai mana yang kita tegaskan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Berdasarkan kemas kini di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), stesen Cheras, Kuala Lumpur merekodkan bacaan paling buruk iaitu 164.
Dua lagi stesen iaitu di Nilai, Negeri Sembilan dan Shah Alam, Selangor pula merekodkan bacaan pada tahap 163 dan 158.
*Foto : Facebook Mr. Encik Syafiq