2 OKT : Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden letupan bom di Ankara, Turkiye dilakukan pengganas sehingga mendatangkan kecederaan terhadap dua pegawai polis pada Ahad.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), hari ini, rakyat Malaysia di Turkiye dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga serta sentiasa mematuhi nasihat pihak berkuasa tempatan.
“Kedutaan Malaysia di Ankara sedang memantau perkembangan dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan untuk maklumat lanjut,” menurut kementerian itu.
Dalam kenyataan sama, Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden tersebut.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata Malaysia turut bersolidariti dengan Turkiye sambil menegaskan masyarakat antarabangsa menolak sebarang tindakan keganasan bertujuan untuk mengganggu proses politik yang sah.
Sebelum ini, media Turkiye melaporkan satu letupan berlaku berhampiran bangunan kerajaan termasuk Parlimen dan kementerian pada jam 9.30 pagi.
Insiden tersebut mengakibatkan dua pengganas maut manakala dua pegawai polis cedera ringan.