PM jamin harga beras tempatan tidak dinaikkan
2 OKT : Kerajaan menjamin harga beras putih tempatan (BPT) di negara ini tidak akan dinaikkan meski berlaku trend peningkatan harga beras di negara-negara jiran susulan kekurangan bekalan beras putih import (BPI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahan subsidi disalurkan Kementerian Kewangan membuatkan harga BPT masih terkawal ketika ini.
“Tentang masalah beras pagi-pagi (tadi) mesyuarat (dengan) Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian…(saya tanya) betul tak ada masalah beras? Betul ada tempat-tempat yang ada masalah beras? Betul tak harga beras import meningkat? (Dijawab) betul.
“Presiden Indonesia umum, sebanyak 18 negara menghalang atau mengurangkan eksport beras. Jadi harga beras di Singapura, Indonesia, Thailand semuanya naik.
“Di Malaysia beras tempatan masih harga terkawal…terkawal maknanya Kementerian Kewangan kena tambah wang, bagi subsidi. Jadi macam mana nak selesai? Mat Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu) tanya apa keputusan? Saya kata jangan naik harga beras (putih) tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ada Majlis Perasmian Karnival Segalanya Felda, di Dataran Niaga Felda Chemomoi di Bentong, hari ini.
Pada ucapan sama Anwar berkata kerajaan setuju menambah peruntukan hampir RM400 juta bagi subsidi pemberian BPI kepada premis agensi-agensi kerajaan yang ditukar daripada menggunakan BPT bagi mengurangkan tekanan keperluan beras kepada rakyat.
“Kita akan beri subsidi kepada mereka agar lima peratus (penggunaan beras tempatan) dapat dipulangkan. Maknanya ada lebih di pasaran. Keputusan dibuat hari ini.
“Bila diberitahu Kementerian Kewangan ketika memeterai kontrak, beli sahaja beras import jangan beras tempatan untuk tentera, polis dan jabatan kerajaan untuk mengurangkan tekanan keperluan beras dalam kalangan rakyat. Berapa jumlah subsidi tambahan? Hampir RM400 juta, ia bukan percuma,” katanya.
Sebelum ini, Mohamad mencadangkan agar semua agensi kerajaan termasuk polis, tentera dan asrama sekolah menggunakan beras import bagi menambah bekalan BPT di pasaran.
Pada sidang media khas kementeriannya hari ini, Mohamad berkata kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 setiap tan metrik bagi BPI di Sabah dan Sarawak mulai 5 Oktober ini.
Katanya, insentif tersebut membolehkan beras putih import dijual dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kilogram.
Ekoran keputusan itu, Anwar berkata, tempoh seminggu diberikan untuk kerajaan melihat impak daripada langkah yang diambil.