3 OKT : Tiga lelaki yang disyaki terbabit kes pukul tepi jalan di persimpangan lampu isyarat, Jalan Langat-Klang yang tular Ahad lalu sudah dicekup polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata tangkapan dilakukan oleh pasukan D7 daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, petang semalam.
“Polis menangkap tiga suspek warga tempatan yang berumur antara 28 hingga 39 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta.
“Semakan ke atas semua suspek mendapati, mereka mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap semua suspek mendapati, suspek utama yang berumur 39 tahun positif methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pihaknya akan membuat permohonan tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Klang, hari ini.
Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Klang Selatan turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semalam, polis menerima laporan darpada seorang warga tempatan berusia 21 tahun yang mendakwa ditahan oleh sebuah kereta dinaiki tiga lelaki.
“Mengikut laporan, pada hari kejadian, jam 7.15 petang, mangsa yang menunggang motosikal membunyikan hon pada sebuah kereta kerana memandu secara berbahaya dan hampir melanggar mangsa.
“Pemandu kenderaan itu kemudian menghalang pergerakan mangsa di persimpangan lampu isyarat. Seorang daripada lelaki berkenaan kemudian menolak mangsa sehingga jatuh dari motosikal serta mencekik, menumbuk muka serta menendang perut dan kaki mangsa beberapa kali.
“Sebelum beredar, suspek turut menendang motosikal pengadu sehingga jatuh dan menyebabkan kerosakan pada ‘cover set‘. Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan sakit serta bengkak pada bibir, tulang rusuk dan kaki,” katanya, dalam kenyataan semalam.
Pada Ahad, seorang penghantar makanan dibelasah selepas didakwa membunyikan hon terhadap sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki di persimpangan lampu isyarat Jalan Langat-Klang, menghala ke Klang.