3 OKT : Ekonomi Malaysia masih bertahan disokong aktiviti berorientasikan domestik dan bertunjangkan keadaan pasaran buruh dan pelaburan menjelang tahun depan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, berkata keupayaan isi rumah untuk berbelanja bertambah baik apabila keadaan pasaran buruh terutamanya pekerjaan dan gaji semakin meningkat.
Katanya, ekonomi Malaysia pada 2024 akan terus berkembang menerusi pelaburan sektor swasta dan awam yang masih utuh .
“Selain itu, ekonomi juga akan mendapat manfaat daripada pemulihan beransur-ansur dalam kitaran teknologi dan pemulihan dalam permintaan luar,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) ke-13, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rasheed berkata negara perlu menyasarkan ke arah mengekalkan pertumbuhan jangka panjang di samping meningkatkan kualiti hidup untuk semua rakyat Malaysia dalam masa terdekat.
“Pembaharuan struktur memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat itu dan kerajaan baru-baru ini telah melaksanakannya, dengan melancarkan Rangka Kerja Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
“Selain mengutarakan objektif ekonomi negara dalam Rangka Kerja Ekonomi MADANI, ia juga menekankan tadbir urus sebagai elemen utama dalam mengemudi pembaharuan yang diperlukan merangkumi integriti, ketelusan dan juga akauntabiliti,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, ketika ekonomi Malaysia bangkit daripada pandemik, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM telah melaraskan dasar monetari secara beransur-ansur sejak Mei 2022, dengan mengambil kira prospek inflasi dan pertumbuhan domestik.
Beliau berkata Kadar Dasar Semalaman (OPR) ketika ini berada pada paras prapandemik sebanyak 3.0 peratus serta dasar monetari kekal menyokong ekonomi.
Namun katanya, MPC kekal berwaspada dengan keadaan yang berubah dan kesannya terhadap inflasi domestik dan juga prospek pertumbuhan.
Pada masa sama, Abdul Rasheed berkata Malaysia bernasib baik kerana tidak menghadapi cabaran inflasi yang teruk seperti yang dilihat dalam ekonomi lain.
Beliau berkata selepas mencapai kemuncaknya pada separuh kedua 2022, inflasi teras terus menurun kepada 2.5 peratus pada Ogos tahun ini sejajar dengan harga komoditi global yang lebih rendah dan keadaan bekalan dan permintaan yang bertambah baik.
“Kami menjangkakan inflasi akan terus menurun sejajar dengan momentum kenaikan harga yang perlahan. Kami akan terus memantau potensi risiko terhadap prospeknya, yang timbul terutamanya daripada perubahan kepada dasar domestik mengenai subsidi bahan api,” katanya.