3 OKT: PAS memutuskan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu yang membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata PAS kini sudah bersedia mengambil langkah seterusnya berdasarkan ketetapan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan daripada keputusan tersebut.
Katanya, keputusan itu diambil setelah Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis mengesahkan dalam sesi pengurusan kes melalui sidang video (Zoom) pada hari ini bahawa keputusan kes Petisyen Kemaman sama seperti mana keputusan dalam kes Petisyen Kuala Terengganu.
“Keputusan saya bagi kes petisyen pilihan raya ini adalah terdapatnya unsur-unsur rasuah bagi bahagian pilihan raya Parlimen ini. Namun saya tidak menamakan mana-mana pihak,” kata Charles Fernandis menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan PAS, pada Selasa.
Susulan keputusan ini, dijangka Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan di Parlimen Kemaman.
Sebelum ini, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Che Alias yang mewakili PAS-Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.
Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh sebanyak 65,714 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.
Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab. Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi.