3 OKT : Sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata pihak sekolah, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPUdan bersedia menutup premis jika bacaan mencecah 200.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri dan pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.
“Menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100.
“Sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200. Bagi tujuan ini, pihak sekola, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU. Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200 persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan.
“Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan.
Setakat jam 10 pagi tadi, beberapa kawasan di Semenanjung menunjukkan bacaan tahap tidak sihat iaitu Nilai, Negeri Sembilan (157); Cheras, Kuala Lumpur (155); Seremban, Negeri Sembilan (149), Banting, Selangor (125); Petaling Jaya, Selangor (117); Shah Alam, Selangor (116) dan Port Dickson, Negeri Sembilan (101).
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Orang ramai boleh melayari laman web http://apims.doe.gov.my untuk maklumat lanjut berhubung bacaan IPU semasa.