4 OKT : Kerajaan Indonesia tidak boleh menafikan jerebu yang melanda Malaysia kini akibat daripada kebakaran hutan dan tanah di negara itu.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni berkata data jelas menunjukkan berlaku jerebu rentas sempadan dari Indonesia
kerana data-data yang diperoleh daripada menunjukkan berlakunya jerebu rentas sempadan dari Indonesia ke negara jiran.
“Mana boleh menafikan, kita mempunyai stastik yang mana terdapat empat titik panas dikesan di Sarawak dan 2,203 titik panas dikesan di Kalimantan bagi tempoh 20 September hingga 28 September lalu.
“Ini data daripada ASMC (Pusat Meteorologi Khas ASEAN) bukan dari Malaysia, jadi macam mana mereka boleh nafikan situasi seperti ini,” katanya, lapor Utusan Borneo.
Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar menerusi satu kenyataan rasmi di Jakarta menepis dakwaan Malaysia bahawa jerebu yang melanda negara ini berpunca dari kebakaran hutan di Indonesia.
Kata Siti Nurbaya, Jakarta tidak mengesan sebarang jerebu rentas sempadan ke negara jiran seperti didakwa.
“Kami terus memantau sebarang perkembangan dan tiada jerebu rentas sempadan ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Jumaat lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negara ini mengeluarkan amaran bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak akibat kebakaran hutan di Indonesia.
Dalam pada itu, Dr Hazland berkata pihaknya akan membawa isu jerebu itu ke Jawatankuasa Sosioekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK MALINDO).
“Perbincangan seterusnya akan dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang dan kita akan mencadangkan beberapa perkara, antaranya berhubung alam sekitar di kedua-dua negara ini.
“Selain itu, kita juga akan mencadangkan kepada kerajaan Indonesia atau sektor perniagaan mereka untuk memasuki biojisim.
“Jadi, daripada mereka membakar pokok-pokok itu apabila mereka memotong, ia boleh menjadi biojisim sekali gus boleh menjadi sumber tenaga boleh jadi, pendapatan baharu khususnya untuk golongan petani,” katanya.
Setakat jam 4 petang ini, stesen di Sri Aman dan IPD Serian di Sarawak mencatatkan bacaan tidak sihat masing-masing 142 dan 102 sementara enam stesen lagi di beberapa negeri mencatatkan bacaan baik dengan baki stesen mencatatkan bacaan sederhana.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.