4 OKT: Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy, dipecat menerusi usul yang dikemukakan perwakilan pada Selasa.
Ini merupakan pemecatan pertama Speaker dalam sejarah 234 tahun dewan itu.
Pemecatan itu berlaku selepas Republikan sayap kanan berang dengan kerjasama McCarthy bersama parti Demokrat.
Ia susulan tindakan McCarthy meluluskan langkah pembiayaan sementara dua parti yang disokong oleh Rumah Putih (White House).
McCarthy berpaling tadah selepas berjanji akan menghentikan usul memohon belanjawan tambahan dan ia membangkitkan kemarahan kumpulan konservatif kerana gagal memaksa kerajaan AS melakukan penjimatan belanjawan yang besar.
Kelulusan itu penting kerana kerajaan tidak dapat berfungsi apabila ia berkait secara langsung kepada dana pengurusan kerajaan Persekutuan.
Sejumlah 216 mengundi menyokong beliau disingkirkan manakala 210 pula menentang.
Seramai 208 wakil Demokrat menyokong pemecatan itu selepas Pemimpin Minoriti Demokrat, Hakeem Jeffries menggalakkan anggota partinya menolak McCarthy.
Lapan wakil Republikan turut mengundi menyingkirkan McCarthy.
Susulan keputusan itu, Speaker sementara merehatkan Dewan sehingga pengganti tetap dipilih.
Bagaimanapun, McCarthy dilaporkan tidak bercadang untuk bertanding semula bagi jawatan Speaker.
Presiden AS, Joe Biden menggesa Dewan Perwakilan AS memilih Speaker baharu secepat mungkin bagi memastikan urusan kerajaan berjalan lancar.