4 OKT : Selepas tiga penggal tiada perwakilan UMNO, kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan pelantikan tiga ketua UMNO bahagian sebagai ahli majlis bagi dua pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ketua UMNO Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Mohd Noor Ahmad dan Ketua UMNO Tasek Gelugor, Datuk Omar Hamid dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye berkata ketiga-tiga wakil tersebut sudah memulakan tugas masing-masing.
Kata H’ng, lantikan ketiga-tiga ahli majlis tersebut bermula Oktober ini sehingga 31 Disember 2024 bagi sesi 2023/2024.
“Pada 2 Oktober, Kerajaan Pulau Pinang menerima tiga pencalonan nama baru bagi ahli majlis daripada UMNO. Pencalonan itu diterima tersebut adalah untuk mengisi dua kekosongan kuota di MBSP dan satu di MBPP.
“Majlis angkat sumpah dan menandatangani pengakuan menerima jawatan bagi MBPP akan diadakan 6 Oktober ini di Dewan Bandaraya manakala bagi MBSP akan diadakan pada minggu ketiga Oktober,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di Georgetown pada Rabu.
Kata beliau, seramai 45 ahli majlis iaitu 23 bagi MBPP dan 22 MBSP mengangkat sumpah pada 2 Oktober lalu.
“Pelantikan ahli majlis yang dibuat itu masih tidak melengkapkan jumlah penuh iaitu 24 orang ahli majlis bagi setiap PBT.
“Oleh itu, dengan pelantikan tiga wakil dari UMNO ini, ia melengkapkan jumlah ahli majlis bagi kedua-dua PBT,” katanya.
Sementara, Abdul Razak berkata banjir, lesen penjaja dan kesesakan lalu lintas antara isu yang akan diber penekanan.
“Saya pernah dilantik ahli majlis pada 2008 selain menjadi Ketua UMNO Jelutong selama 13 tahun, dengan pengalaman yang ada, saya berharap akan membantu saya menjalankan tanggunjawab ini dengan lebih baik,” katanya.