4 OKT : Mahkamah Tinggi Shah Alam hanya menerima satu petisyen daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia bagi mencabar kemenangan Perikatan Nasional (PN) di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, lapor Utusan.
Memetik sumber, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor dilaporkan tidak menerima tiga lagi petisyen bantahan DUN seperti yang diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini.
“Tiada petisyen lain akan diterima selepas tempoh mengemukakannya sudah pun tamat dan tiada kebenaran khas diberikan.
“Tempoh mengemukakan petisyen adalah 21 hari dari tarikh pilihan raya berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya,
Selain DUN Gombak Setia, tiga DUN lain yang turut disebut-sebut adalah DUN Sungai Kandis, DUN Taman Medan dan DUN Dengkil yang dimenangi PN dengan majoriti tipis.
Pada PRN lalu, calon PN, Hilman Idham memenangi Gombak Setia dengan 30,299 undi (majoriti 58 undi) menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mendapat 30,241 undi.
Sementara itu, di Taman Medan, Setiausaha PN Selangor, Dr Afif Bahardin menang (22,316 undi) dengan majoriti 30 undi menewaskan calon PH, Ahmad Akhir Pawan Chik yang mendapat 22,286 undi.
Ketua Bahagian Bersatu Kota Raja, Wan Dzahanurin Ahmad (PN) memenangi DUN Sungai Kandis dengan 167 majoriti menewaskan penyandangnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Di DUN Dengkil, calon BN, Noorazli Said tewas kepada calon PN, Datuk Seri Jamil Salleh dengan majoriti undi 407 di mana masing-masing mendapat 33,154 dan 33,561 undi.