5 OKT : Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang daripada Perikatan Nasional (PN) dijangka menyokong kerajaan gabungan BN-Pakatan Harapan (BN-PH) di negeri itu.
Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beliau mendapat maklumat tersebut sekali gus menepis dakwaan ada ADUN BN yang akan mengkhianati gabungan tersebut.
“Dakwaan empat ADUN BN akan sokong PN adalah propaganda mereka tapi kita ada maklumat dalaman yang sebenarnya mereka akan bersama-sama kami,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkait kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ceramah di Felda Chemomoi baru-baru ini yang mendakwa ada kemungkinan ADUN BN akan menyertai PN sekiranya gabungan itu menang pada PRK DUN Pelangai.
Zahid yang juga Presiden UMNO berkata komposisi yang membentuk kerajaan negeri Pahang ketika ini terdiri daripada 16 ADUN BN dan lapan ADUN PH manakala PN mempunyai 17 ADUN.
“Insya-ALLAH kita akan kekalkan Pelangai. Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi bagi membentuk kerajaan,” katanya.
Untuk rekod, Pahang antara negeri yang belum menguatkuasakan undang-undang antilompat parti terhadap ADUN sejak ia dilaksanakan di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober 2022.
PRK bagi DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.
PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam; calon PN, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasni.